Menulis Untuk Mencetus Pengetahuan, Menulis Untuk Pencerahan Ilmu,Menulis Untuk Mencari Ilahi...

Tuesday, August 24, 2010

Berniaga tidak sunnah mengundang laknat...

Petang,aku ke bazar lagi. Seperti biasa mencari juadah untuk berbuka. Maklumlah,orang bujang mana ada masa nak masak sendiri. Apalagi kalau tinggal di asrama, dapur masak pun tiada. Rambang mata juga kalau ke bazar pada bulan Ramadhan ni. Kalau boleh semua benda nak dibeli untuk berbuka. Inilah manusia, belum dapat semuanya sedap, semuanya rasa nak dimiliki. Tapi bila dah dapat, ambil sekadar keperluan je. Selebihnya dibazirkan sahaja...(macam mendalam je maknanya..huhu)

Aiseh, ke mana ye saya tadi. Ha, nak diringkaskan cerita, masuklah waktu berbuka bagi zon Bangi dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya.

Ni yang aku tak suka beli juadah berbuka kat bazar waktu bulan Ramadhan ni. Mesti ada je makhluk yang baru nak belajar memasak tumpang sekaki kat bazar tu, tak pun bulan Ramadhan baru nak memasak balik. Dahla harga mahal, cekik darah, pulak tu rasa pun tak sedap, ini kuih karipap ke tepung mentah? Ha, air pun tawar. Harap warna je gempak, buah naga konon, sedap lagi air sirap adik aku buat...getus sahabat-sahabat saya, geram gamaknya... Hai, baru berbuka dah macam-macam sumpah seranah keluar. Sabarla ye kawan-kawan;-)

Seusai solat tarawih, saya termenung seketika. Mungkin ada benarnya kata sahabat saya, "berniaga tidak sunnah mengundang laknat". Bukanlah berniaga itu sendiri yang tidak sunnah, tapi bila berniaga cuma berorientasikan keuntungan matearalistik semata tanpa mencari keredhaanNya, pasti akan mengundang laknat manusia. Contoh yang paling mudah, seperti di awal cerita tadi.

Memanglah 9/10 punca rezeki itu berpunca dari perniagaan. Sabda nabi, `Didorong atas kamu ialah perniagaan kerana didalamnya ialah sembilan persepuluh daripada rezeki'. Tapi jika hendak berniaga biarlah kena gayanya. Itu baru cerita di bazar. Bagaimana pula dengan serbuan JAKIM di hotel-hotel yang menyediakan juadah berbuka? Berapa banyak hotel yang menggunakan arak sebagai salah satu dari bahan masakan untuk disajikan kepada umat Islam yang ingin berbuka puasa. Berapa ramai pula yang sudah sebati di dalam perut mereka dengan arak-arak itu? Fikir-fikirkanlah. Berniaga jika tidak berlandaskan sunnah, pasti akan mendapat laknat Allah. Berniaga bukan semata-mata untuk mencari untung kerana di dalam perniagaan tidak semestinya kita sentiasa mendapat keuntungan. Dalam perniagaan sering juga kita menghadapi kerugian.

Tujuan perniagaan mengikut Islam sebenarnya ialah untuk memperbesarkan, memperpanjangkan dan memperluaskan aktiviti syariat dan dengan tujuan beribadah dan mendapat pahala yang banyak. Justeru di dalam perniagaan, hendaklah kita sentiasa mencari keredhaan Tuhan dengan niat yang betul serta perlaksanaan yang betul.

Mengikut pengamatan saya, ada juga peniaga yang pada mulanya berjaya, contohnya kedai makan, tetapi kerana tamak untuk meningkatkan margin untung, mereka mengurangkan ‘ayam di dalam nasi goreng’ tetapi harganya tetap sama. Orang tidak lagi puas hati dengan kedai berkenaan dan berhijrah ke kedai yang bertaburan di tempat lain. Bukankah diri sendiri yang rugi? Keuntungan yang diperoleh hanya sekejap cuma. Usahlah terlalu tamak apatah lagi pada bulan mulia ini yang pahala sedekahnya dilipatkan berkali ganda.

Seharusnya para perniaga mengambil roh berniaga berdasarkan prinsip-prinsip yang telah ditegaskan baik di dalam al-Quran mahupun al-Sunnah. Sebenarnya terdapat 500 hadis sahih Bukhari dan 370 ayat al-Quran yang menyentuh tentang perniagaan.

Firman Allah di dalam surah an-nisa' ayat 29, maksudnya :
Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu Dengan jalan Yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali Dengan jalan perniagaan Yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...

Mata pencarian terbaik adalah ialah hasil usaha sendiri dan perniagaan yang bersih. (Riwayat Al-Bazaar)

Rasulullah juga pernah bersabda:
Antara sekian banyak dosa, ada dosa yang tidak dapat dihapus dengan solat dan puasa. Sahabat baginda lantas bertanya, "jadi amalan apakah yang boleh menghapuskan dosa berkenaan?" Jawab Rasulullah: "dengan pahala dari bekerja mencari rezeki yang halal".

No comments:

Post a Comment