Menulis Untuk Mencetus Pengetahuan, Menulis Untuk Pencerahan Ilmu,Menulis Untuk Mencari Ilahi...

Monday, August 23, 2010

Tidak kira di mana kita bermula, yang penting di mana kita akan berakhir

Ayah, ke mana perginya jemaah terawih yang lain? bukankah lusa baru kita menyambut aidilfitri? saya bertanya

Oh, biasalah abang. Beginilah suasananya bila ramadhan sudah hampir ke penghujungnya. Ramai orang lebih berminat untuk menyambut hari raya berbanding yang bersedih dengan pemergian ramadhan.

Sedih sebenarnya bila melihat pasar-pasar lebih dihuni oleh manusia berbanding masjid-masjid yang sepatutnya menjadi destinasi utama umat Islam sepanjang ramadhan. Setiap tahun, skrip yang sama pasti akan berulang.

Teringat saya pada sepotong hadis yang mafhumnya berbunyi:
"Awal ramadhan itu rahmat, pertengahannya ada pengampunan dan penghujungnya dijauhkan dari api neraka".

Semangat ramadhan biasanya hanya ada pada awal ramadhan sahaja, kemudian akan semakin menghilang dan menghilang. Belum pun raya, lagu-lagunya sudah pun dikumandangkan di corong-corong radio mahupun televisyen. Pasar-pasar mula memulakan peperangan harga bagi merebut hati sang pembeli. Bunga api mula menguntum mekar di tangan si kecil seiring detak dentum letupan mercun yang bersaing kehebatan sesamanya. Seharusnya kita mengejar sisa-sisa ramadhan itu dengan penuh pengharapan agar kita dijauhkan dari api neraka. Ramadhan yang seharusnya menjadi satu madrasah untuk mentarbiyyah jiwa hanya dimanfaatkan sedikit cuma. Hanya beria-ia diawalnya sahaja. Jangan nanti bila berakhirnya ramadhan, kita hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Langsung tiada penambahbaikan, ibarat melukut di tepi gantang, pergi tidak bertambah, balik tidak berkurang.

Tidak salah untuk kita bergembira dengan aidilfitri yang pasti tiba. Akan tetapi, berpada-padalah. Pastinya kesilapan ini perlu diiktiraf, difahami dan seterusnya diatasi dengan sewajarnya. Ukuran ramadhan kita bukan hanya kesungguhan di awalnya sahaja, bahkan yang lebih penting adalah istiqamah kita di saat-saat penghujungnya.

No comments:

Post a Comment