Menulis Untuk Mencetus Pengetahuan, Menulis Untuk Pencerahan Ilmu,Menulis Untuk Mencari Ilahi...

Monday, August 23, 2010

Ramadhan bulan maksiat...


"Keterlanjuran kali pertama usah disusuli dengan kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa".

Seusai solat terawih, saya mencapai telefon bimbit. Tertera di skrin telefon "1 message". Saya lalu membuka mesej tersebut, tulisannya berbunyi "adeq, cal akk skrg...urgent" (tulisan sms). Lantas saya menelefon kakak saudara saya kerana bimbang juga ada apa-apa yang kurang enak berlaku. Rupa-rupanya beliau cuma mahu minta nombor telefon pegawai penguatkuasa agama daerah Kuala Selangor untuk membuat laporan berkenaan khalwat. Berderau juga darah saya bila dimaklumkan wanita yang ingin diadukan itu sebenarnya sudah pun layak bergelar 'mak cik', malah mengadakan hubungan dengan pasangan yang jauh lebih muda darinya.

Saya mula menyelak-nyelak diari ramadhan kali ini. Astaghfirullahal'azim...

18 Ogos : Dicekup khalwat pada bulan ramadhan. Georgetown ; sepasang kekasih melayu  masing-masing berumur 35 dan 33 tahun dicekup oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

22 Ogos : Projek rahsia ayah. Ketika makin ramai anak muda ke masjid dan surau untuk menunaikan solat sunat Tarawih, ada juga golongan bapa bergelumang dosa melakukan maksiat di beberapa kelab dangdut di sekitar ibu kota.

22 Ogos : Pondan tak peduli. Tak kenal dosa. Itu perbuatan sebilangan pondan beragama Islam yang berpeleseran di Lorong Haji Taib, Chow Kit, yang melakukan kegiatan pelacuran walaupun pada siang hari yang seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadhan.

23 Ogos : Gadis sunti dicekup berzina. Usia baru 12 tahun, namun gelora nafsu murid tahun enam, tidak dapat dibendung hingga dicekup ketika berzina dengan seorang daripada dua lelaki yang berkurung dengannya dalam sebuah rumah.

23 Ogos : Urut siang Ramadhan. Petaling Jaya ; sekalipun bulan ramadhan, ia tidak menjadi penghalang kepada seorang wanita berusia 35 tahun memberi perkhidmatan urut kepada dua lelaki sebelum ditahan oleh pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Sebenarnya banyak lagi yang peristiwa-peristiwa jijik yang dilakukan oleh segelintir umat Islam di negara ini tanpa memikirkan walau sedikit pun tentang kemuliaan bulan ramadhan yang penuh barakah ini. Apakah golongan ini sudah lupa akan janji Allah. "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, Allah ampunkan dirinya dari dosa-dosa".

Rasa disimbah bak air panas yang masih menggelegak bila beberapa hari lepas terpampang di dada akhbar tentang kecurangan seorang isteri yang sedang bermadu kasih dengan kekasih gelapnya yang berusia jauh lebih muda dan ditangkap oleh suaminya sendiri. Betapa hibanya hati seorang suami yang mengenangkan bulan Ramadhan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk memohon ampunan dari Allah, akan tetapi disalah gunakan ke jalan maksiat.

Ramadhan yang sepatutnya diisi dengan penuh pengabdian kepadaNya, tetapi dengan mudah dinodai oleh jiwa-jiwa yang tidak punya langsung keinsafan dengan kehadiran bulan mulia ini. Kalaulah Ramadhan boleh dijadikan medan maksiat oleh mereka tanpa ada sedikit pun rasa bersalah bahkan sehingga ada yang tidak menyedari kehadiran bulan kerana keasyikan mereka dalam misi kemaksiatan, tidak dapat saya bayangkan bagaimana keadaan umat ini di luar Ramadhan.

Ya Tuhan, jauhilah kami dari ujian yang maha berat ini. Apa mungkin kita sudah lupa dengan peringatan Tuhan bila Dia menimpakan tsunami yang mengorbankan banyak jiwa pada ketika itu. Itu cuma sekelumit inzar dariNya agar kita melihat bala itu dari kaca mata keinsafan. Apakah kita sudah tidak mahu berfikir tentang bala Allah yang menanti pada bila-bila masa sahaja bilamana kita sudah semakin jauh dari ajaranNya?

Marilah kita sama-sama kembali ke jalanNya. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, usah sekali-kali berputus asa. Begitulah seharusnya pengukuhan jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunanNya dan kunci pintu keampunan itu adalah harapan.

Selagi ada harapan, selagi itu ada perjuangan. Dan selagi ada perjuangan, selagi itulah peluang untuk menang sentiasa ada. Hidupkan Ramadhan dengan penghambaan kepadaNya, bukannya kemaksiatan. Tewas dalam pertempuran tidak bererti tewas dalam peperangan. Ingat pesan orang bijaksana : Orang yang menang sesungguhnya lebih banyak merasai kegagalan daripada orang yang gagal.

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?


No comments:

Post a Comment