Menulis Untuk Mencetus Pengetahuan, Menulis Untuk Pencerahan Ilmu,Menulis Untuk Mencari Ilahi...

Monday, August 30, 2010

81 000 anak luar nikah bersepah di Malaysia?

IPOH 29 Jun - Angka yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahawa terdapat 81,000 anak luar nikah berdaftar ketika ini merupakan perkembangan yang membimbangkan. Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, antara punca yang menyumbang kepada peningkatan gejala sosial tersebut ialah penyaluran maklumat tanpa batasan dan perubahan budaya masyarakat.

Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Bukanlah saya ini insan yang layak untuk mengulas perkara sebegini. Cuma akhirnya saya terpanggil untuk memberikan komen tentang isu ini. Dalam satu perbincangan semasa mengikuti kuliah Kaunseling Islam, kami diminta untuk memberikan pendapat masing-masing berdasarkan perspektif 'Kaunseling'. Pelbagai pendapat yang diutarakan, ada yang bernada keras dengan menyalahkan media-media tertentu dan ada juga yang bersederhana dalam memberikan pendapat.

Isu anak luar nikah dan pembuangan bayi bukanlah satu isu yang baru diperdengarkan kepada kita. Alah bisa tegal biasa, begitulah mungkin bunyinya. Pelbagai cara diperbahaskan untuk mengatasi hal ini. Ahli politik dengan pandangannya, ahli fikir dengan fikiran mereka, ahli agama dengan pegangan mereka. Lalu siapakah yang harus kita ikuti sedang hal ini seakan langsung tiada jalan penyelesaiannya.

Kita mengimbau kembali zaman ayah dan ibu kita dahulu. Bagaimana nilai yang pernah diterapkan dalam diri mereka dahulu, kini sudah semakin hilang entah ke mana. Berbicara soal nilai, apa yang dapat kita perhatikan sebenarnya? Kalau dulu, tinggal di kampung, pastinya keberatan untuk ber'couple-couple' kerana orang-orang tua di kampung pasti kenal anak si pulan dan si pulan. Mudah untuk ditegur. Kalau ada anak-anak yang buat silap, tanggungjawab untuk menegur bukan hanya dibahu ibu bapa, tapi pada semua warga kampung tersebut.

Zaman sudah berubah. Anak-anak zaman sekarang, pantang untuk ditegur. Silap hari bulan, kita pula yang disaman dek kerana menceroboh hak individu. Cuba kita lihat, anak remaja yang duduk berpeleseran sambil bercumbu-cumbuan dengan pasangan mereka di tempat awam, siapa yang berani menegur? Pemandangan anak muda berjalan sambil berpeluk-pelukan, duduk bertepuk tampar, hilai tawa yang menggila tanpa mengira jantina dan pelbagai aksi lagi. Siapa yang berani menegur? Kalau berani, tegurlah mereka ini. Paling hebat pun, sekadar menggeleng kepala. Nak ditegur, kita pula yang dihentamnya nanti. Tinggallah penguatkuasa agama yang memiliki kad kuasa sahaja yang mampu untuk menegur mereka ini. Itu pun cuma dalam bidang kuasa tertentu sahaja. Pernah saya berjalan dengan seorang penguatkuasa dan pada masa itu saya melihat sepasang remaja yang sedang berjalan sambil berpegangan tangan dan berpeluk-pelukan. Bila ditanya kenapa tidak ditegur pasangan tersebut, alasan yang diberikan mudah. Kerana susah untuk disabitkan kesalahan. Nah! Apakah yang boleh disabitkan kesalahan hanya mereka yang bercumbu-cumbu di dalam kereta atau di taman-taman, yang sudah bermesra-mesra di katil 'kondo' atau di hotel-hotel? Marah, tapi itulah realiti hari ini.

Pernah juga saya menegur pasangan yang sedang bercumbu-cumbu di sebuah taman. Bukan mereka yang disoal siasat, tapi saya pula yang disoalnya. "Lu siapa brother? Wa ada kacau lu ke?" Belum sempat berhujah, sudah dipanggil 'geng-geng' mereka. Natijahnya, saya terpaksa beredar jugalah dari situ. Tapi itu tidak bermakna semangat saya untuk agama sudah luntur, mungkin itu hari baik untuk mereka mempertahankan diri. Senarionya begitulah, pantang ditegur, pasti melatah. Di mana nilai kita sebenarnya? Menelusuri hari kemerdekaan yang ke-53 hari ini, sudah tiba masanya untuk pihak pemerintah mengkaji semula apa erti merdeka sebenar rakyat Malaysia.

Kerana itu, tidak hairan bagi saya jika kes anak luar nikah dan pembuangan bayi bersepah-sepah diluar sana. Hari ini, penyelesaiannya agar diwujudkan tabung uji DNA, dipermudahkan khitbah dan pelbagai lagi jalan penyelesaian yang diberikan. Bila jalan ini diberikan, pasti ada saja yang membantah. Pada saya, isunya bukan bantahan itu, tapi setakat mana jalan yang diberikan itu mampu menyelesaikan masalah yang berlaku hari ini. Pernah saya diminta pandangan oleh seorang sahabat tentang isu ini, saya katakan 'dalam hal ini, laksanakan mengikut cara Islam'. Jawab sahabat saya, itu kalau dari pandangan kau sebagai orang agama, bagaimana kalau dengan orang yang bukan dari bidang agama?' Nah! Apakah isu anak luar nikah dan pembuangan bayi ini bukan hal agama? Anda fikirlah.

Analoginya mudah, orang yang selesema lalu diberikan ubat gastrik, adakah tepat tindakan itu? Pastinya tidak. Ubatnya tidak kena. Begitu juga hal ini. Isunya bukan pembuangan bayi mahupun anak luar nikah. Isu besarnya adalah ZINA. Anak luar nikah adalah hasil dari ZINA, pembuangan bayi adalah hasil dari ZINA! Lalu di manakah ubat ZINA ini? Ubatnya adalah agama. Kembalikan hidup beragama! Ulama' dan Umara' harus seiring, hidupkan syiar Islam. Peranan masyarakat, jangan membisu bila melihat kemungkaran di depan mata. Terapkan nilai-nilai agama melalui media. Hukuman adalah akibat dari perbuatan. Sebat di khalayak ramai mereka yang berzina, rejam mereka. Firman Allah taala yang bermaksud :
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman." Surah an-Nuur ayat 2.

Apapun yang berlaku, 'pancangnya' adalah Allah. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Setiap kita adalah pemimpin dan pastinya akan dipersoalkan kelak oleh Allah akan kepimpinan kita. Hanya ini saja jalan yang ada. Pasti ada cara untuk melaksanakannya. Command and do. Allah adalah pemerintahnya, kita adalah pelaksananya. Ikut akan perintahnya, pasti akan berjaya. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment